faiza cover
faiza cover

Dulu Hanya Ambil Upah Jahit RM4, Kini Faiza Jutawan Beras Tempatan

KALAU sebut sahaja nama Beras Faiza, terus terbayang rancangan Bersamamu TV3 yang selalu tolong orang susah. Tapi, tahukah anda siapa sebenarnya pemilik syarikat beras terkenal di Malaysia ini?

Beliau ialah Faiza Bawumi Sayed Ahmad. Beliau sebenarnya menyimpan hasrat murni ingin menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia, supaya dapatlah beliau membantu lebih ramai orang di luar sana.

faiza ngo
Nama Faiza suatu ketika dahulu sinonim dengan aktiviti kemasyarakatan (Sumber foto: Penyu Sakti)

Cerita perjalanan Faiza juga tidak kurang mencabarnya. Beliau bukanlah lahir daripada keluarga yang terus senang macam yang selalu ada dalam drama Melayu pukul tujuh petang. Beliau hakikatnya hanyalah memiliki diploma dalam bidang jahitan.

Dengan kelulusan itulah beliau mengambil upah sulaman dan jahitan yang hanya sekitar RM4 sahaja. Tapi mujurlah beliau seorang yang rajin mempelajari banyak perkara baru. Beliau selalu juga membantu bapanya sebagai juruwang. Ia secara tidak langsung menjentik minat Faiza untuk terjun ke dunia perniagaan.

beras faiza
Faiza hanya ambil upah sulaman dan jahitan yang hanya sekitar RM4 sahaja. (Sumber Foto: Karangkraf)

 

Jual rempah sendiri

Daripada seorang tukang jahit, Faiza mula berjinak-jinak menghasilkan rempah buatannya sendiri yang dihasilkan daripada dapur rumah. Beliau menjual rempahnya di bawah jenama Bunga Raya. Hasil daripada wang jualan, Faiza membuka sebuah kedai runcit dan membeli mesin untuk menghasilkan rempah ratus.

Ketika itulah beliau terfikir cara untuk memajukan perniagaan dengan mengusahakan industri beras. Bermulalah perjalanan Faizah mengenal jenis beras seperti Ponni, basmati, beras wangi dan beras Siam.

Beliau mula memohon lesen pemborong jualan beras supaya dapatlah beliau menjual dan mengedar beras secara sah. Faizah masih ingat lagi ketika lori treler penuh dengan beras berada di hadapan rumahnya. Beliau dengan tekun membungkus satu persatu beras dan menghantarnya ke kedai-kedai.

 

Beras lebih sihat

Bagi menghasilkan beras yang lebih baik dan sihat, Faiza kemudian bekerjasama dengan Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) untuk menghasilkan beras Ponni yang lebih sihat.

Waktu itu tak ramai yang tahu tentang kelebihan beras jenis ini. Tidak berhenti setakat di situ, beliau mengambil langkah besar dengan melabur jutaan ringgit untuk produk Taj Mahal di samping meminta hak eksklusif daripada BERNAS.

beras Faiza
Produk-produk Faiza diiktiraf halal dan berkualiti. (Sumber Foto: Harian Metro)

Nampaknya usahanya menjadi, produk berasnya mula mendapat perhatian meluas. Ramai yang mengatakan produk Faiza halal dan berkualiti. Melihat lebih banyak peluang di depan mata, Faiza kemudian mengusahakan lebih banyak lagi produk lain keluaran syarikatnya seperti bihun, sos cili dan kicap.

Tapi biasalah, setiap perniagaan ada pasang dan surutnya. Faiza pernah berdepan dengan insiden apabila dikhianati oleh pekerjanya sendiri. Pekerjanya mencuri dan melarikan berguni-guni beras keluaran syarikatnya. Harga untuk seguni beras pula mahal di pasaran. Perbuatan terkutuk itu ‘kantoi’ apabila mereka ditangkap semasa sedang memunggah guni ke dalam lori.

Bercakap tentang siapa yang bakal menguruskan syarikat, Faiza tidak pernah menghalang anaknya untuk menjaga syarikat. Jika mereka mahu, mereka boleh bekerja. Jika anaknya mempunyai cita-cita lain, beliau tidak akan menghalang. Namun, hanya dua orang anaknya sahaja yang bekerja sebagai pensyarah manakala yang lain berkongsi minat yang sama untuk meluaskan perniagaan.

Walaupun tidak mempunyai segulung ijazah, namun semangat dan tekad Faiza wajar dicontohi oleh semua. Beliau tidak pernah berhenti belajar dan tidak pernah kenal erti putus asa walaupun sudah menginjak usia senja. Sama-samalah kita mencontohi tekad dan ketekalan hati wanita besi ini.