673559
673559
EKSPRESI AQSA SOLIDARITI UMMAH

“Kalau Boleh Saya Nak Tukar Nyawa…” – Nora Ariffin Diuji Kehilangan Dua Orang Tersayang

Siapa tak kenal, penyanyi terkenal, Nora Ariffin atau nama sebenar Datuk Wan Norafizah Dato’ Wan Ariffin yang masih berbisa walaupun kini sudah berusia 48 tahun.

Beliau mula mencipta nama pada tahun 1994 dengan album pertama yang berjudul Sandiwara yang memuatkan lagu hits berjudul Di Persimpangan Dilema.

Kejayaan yang boleh dibanggakan apabila pada usia 18 beliau sudah dinobatkan juara Bintang HMI. Sejak dari itu, namanya meluas dikenali dan memenangi banyak anugerah. Kini suaranya masih lagi masih hebat, bak kata warganet, Nora tertelan kaset.

biodata nora
Nora bersama keluarganya (Sumber foto: Iluminasi)

Namun, kehidupan Nora juga seperti kita, mengalami turun naik. Pada tahun 2017, kehidupannya berubah sekelip mata selepas Yang Maha Esa menguji dirinya dengan mengambil nyawa suami tercinta yang merupakan seorang komposer, Johan Nawawi.

“Apa saya lalui diluar dugaan dan saya tidak pernah terfikir langsung saya akan menjadi seorang ibu tunggal. Ini satu benda yang baru. Memang sangat terkejut untuk menerima dan membiasakan hidup seorang diri sebab saya dan suami ibarat belangkas, ke mana sahaja kami bersama.

“Arwah boleh dikatakan sebagai tulang belakang saya tapi kalau lalui dengan tak ada kesabaran dan sedikit keimanan, memang boleh out!” jelasnya.

Menurutnya lagi, untuk meneruskan kehidupan barunya ini dia perlu bersikap positif kerana bila negatif semua perkara tak akan menjadi dan dalam pada masa, Nora padatkan pelbagai aktiviti untuk elakkan daripada berfikir perkara yang tidak masuk akal.

Life must go on, kita yang masih hidup kena buat apa yang sepatutnya walaupun sangat sukar, mencabar, perit, pedih, berat nak melangkah tapi tetap kena teruskan. Di mana ada masalah, di situ ada jalan penyelesaian cuma macam mana kita terima masalah itu dan cara kita berfikir menyelesaikannya,” kongsinya panjang lebar.

BeFunky collage nora
Kehilangan anak dalam tempoh tidak jauh daripada kehilangan suami amat memberi kesan kepada Nora (Sumber foto: OhBulan!)

Tidak sampai disitu saja ujian yang perlu Nora tempuh. Beliau diduga sekali lagi apabila anaknya Muhammad Syakir Alif turut kembali ke Rahmatullah pada Disember 2019. Sudah semestinya kehilangan anak dan suami dalam tempoh yang dekat memberi kesan mendalam kepada dirinya.

“Kalau boleh tukar nyawa, saya tukar dah. Biarlah saya yang pergi dulu tapi saya tak boleh buat apa-apa. Waktu itu saya redha, ampunkan segala dosa-dosa dia. Semua berlaku ni saya percaya Allah dah aturkan cantik-cantik.”

“Bila saya lalui ini, saya pegang tiga perkara. Sabar, redha dan bersyukur tidak kira ketika kita sedang gembira memperoleh sesuatu atau bersedih atas sesuatu yang berlaku,” kongsinya.

Meskipun beliau masih tersenyum tapi, Nora tidak terkecuali dari menyimpan rasa rindu pada suami yang telah dijemput Ilahi. Menurutnya rindu pada sesuatu yang sudah tiada hanya yang pernah melaluinya saja akan faham maksud tersebut.

“Orang boleh kata sabar tapi kalau tak pernah mengalaminya anda tidak akan tahu. Rasa lain kalau terpisah jauh, berpisah disebabkan cerai, berjauhan lain tapi bila rindukan seseorang soulmate yang tak akan dapat kembali, saya tak boleh teruskan kerja saya.”

Bagi saya, kalau nak sedih, sedihlah sebab itu adalah perasaan kita pun tapi jangan sampai memakan diri. Perlu bangun,” ceritanya tanpa berselindung.

Bagaimanapun Nora bersyukur mempunyai kawan-kawan yang memahami keadaannya. Semoga beliau terus kuat menempuh kehidupan sendirian.

 

Sumber: Zayan