IMG 6293
IMG 6293

Hapuskan Stigma! Gadis Bipolar Ini Jadi Sukarelawan Bantu Masyarakat

fatiha 1
Fatiha selalu membuat kerja amal bersama anak-anak tanpa dokumen (Sumber foto: Instagram Fatiha Shuib)

KALAU dipandang dari mata kasar, gadis ini dilihat penuh yakin, bercita-cita tinggi dan bersemangat. Tiada langsung menampakkan beliau sebenarnya sedang bertarung dengan penyakit mental di dalam dirinya.

Namun begitu, beliau tidak pernah segan untuk bercerita dan memberi kesedaran mengenai kesihatan mental kepada orang awam.

Gadis muda ini bernama Fatiha Shuib yang merupakan seorang usahawan sosial dan pengasas kepada gerakan sukarelawan 1Moment4Them. Ia merupakan badan bukan kerajaan yang memberi bantuan kepada orang awan yang mempunyai masalah mental di samping menyediakan aktiviti untuk pelarian dan golongan memerlukan.

fatiha 2
Fatiha menghidapi gangguan bipolar (Bipolar Disorder) yang membuatnya sentiasa berada dalam perubahan emosi. (Sumber foto: Instagram Fatiha Shuib)

 

Tak boleh bangun

Fatiha menghidapi bipolar disorder yang membuatnya berada dalam perubahan emosi daripada terlalu gembira kepada terlalu sedih atau depresi. Berkali-kali Fatiha diserang panik atau berada dalam situasi depresi.

Bercerita tentang detik paling sukar, Fatiha mengatakan ketika tahun 2016, beliau mengasingkan diri selama 7 bulan kerana keadaan depresi yang teruk. Beliau hanya duduk di dalam bilik tanpa berbuat apa-apa. Badannya susut mendadak kerana kurang makan.

Bukan itu sahaja, Fatiha tidak dapat melakukan aktiviti seperti orang normal. Beliau selalu rasa mengantuk dan penat. Beliau tak boleh keluar rumah untuk kerja termasuklah untuk mandi. Kalau nak pergi ke mana-mana, Fatiha akan menaiki kenderaan awam dan tidak memandu kerana gelisah.

Fatiha mula membuat carian psikiatri di Google dan bertemu pakar.  Beliau disahkan menghidap gangguan Bipolar tahap dua iaitu murung dan mania pada masa yang sama. Namun, untuk pulih, Fatiha tahu bahawa beliau perlu menerima keadaan dirinya dan hidup dengan penyakit yang dihidapinya.

fatiha 3
Dengan melihat kebahagiaan dan senyuman orang lain ia membuat Fatiha berasa ‘hidup’. (Sumber foto: Intagram Fatiha Shuib)

 

Tangan yang memberi lebih baik dari menerima

Siapa sangka, dengan melakukan kerja sukarelawan, ia membantu Fatiha untuk mengawal penyakit mentalnya. Beliau semakin giat membantu insan memerlukan seperti masyarakat Bajau Laut di Semporna, Sabah dalam sektor pelancongan.

Dengan melihat kebahagiaan dan senyuman orang lain ia membuat Fatiha berasa ‘hidup’.

Secara tidak langsung, Fatiha telah membuktikan bahawa mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental juga boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Dengan membantu orang lain, ia juga akan membuatkan tubuh kita menghasilkan hormon dopamine yang membuat kita berasa gembira.

Fatiha masih aktif menyebarkan pengetahuan dan kesedaran mengenai masalah mental menerusi media sosial beliau sehingga hari ini. Usaha dan semangat beliau begitu menginspirasikan.