BH 20180907 NHMUHAYA 3554141
BH 20180907 NHMUHAYA 3554141

Ketegasan Arwah Ayah Jadi Pendorong Kejayaan Prof Muhaya

SEBUT sahaja nama Prof Muhaya, semua sudah mengenalinya. Tidak hanya seorang doktor mata yang dikagumi, malah beliau juga sering mendapat perhatian lantaran ceramahnya yang menggugah pemikiran khususnya untuk kaum wanita.

Namun begitu, masih belum ramai yang mengetahui bagaimanakah Prof Muhaya ini dibesarkan sehingga menjadi insan yang hebat seperti hari ini?

Semasa kecil, beliau dibesarkan oleh orang tua yang sangat mementingkan pembelajaran. Arwah bapanya iaitu Mohamad Busu merupakan seorang bapa yang sangat tegas dan mengawal ketat pergerakan anak-anaknya. 

Semasa kecil, mereka hanya dibenarkan bermain sehingga jam 6 petang sahaja. Kemudian, mereka harus segera membersihkan diri dan bersiap untuk solat Maghrib bersama-sama. Sesiapa yang mengingkari arahan ini pasti akan berdepan dengan hukuman rotan. 

 

prof 4
Prof Muhaya bercerita tentang kisah zaman kanak-kanak (Sumber Foto: Keluarga)

 

Dipukul ayah

Apa yang menarik tentang didikan arwah bapanya, bapanya hanya akan memukul anaknya di bawah lutut dan mengingatkan bahawa beliau hanya merotan sikap buruk anaknya dan tidak pernah sesekali berniat untuk menyakiti sesiapa. 

Prof Muhaya itu juga pernah dirotan dengan kuat. Namun ibunya sempat bercerita suaminya menangis kerana rasa bersalah merotan anaknya. Begitu halus perasaan si ayah. 

 

Diajar menabung

Selain tegas dengan pelajaran, anak-anak juga diajar untuk mula menabung. Masing-masing diberikan tabung berbentuk pekerjaan dan cita-cita mereka. Memandangkan Prof Muhaya dahulunya ingin menjadi seorang arkitek, arwah ayah memberikannya tabung berbentuk rumah.

 

Pentingkan ilmu

Hasil didikan ayahnya benar-benar menjadi apabila Prof Muhaya membesar menjadi seorang insan yang sangat mencintai ilmu pengetahuan. Beliau juga pernah mengupah seorang guru semata-mata untuk memberi ilmu yang lebih kepada anaknya. 

Ternyata usaha itu berbaloi apabila Prof Muhaya merupakan salah seorang daripada empat pelajar yang mendapat keputusan cemerlang High School Certificate atau dikenali sebagai SPM pada masa ini. 

Beliau kemudian mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam kos perubatan di Mesir namun ditolak oleh ayahnya yang belum bersedia membenarkan puterinya merantau jauh. 

prof1
Prof Muhaya bergambar bersama-sama ahli keluarga yang sangat mementing ilmu. (Sumber Foto: Keluarga)

Prof Muhaya kemudian menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia dan terus cemerlang sehingga ke hari ini. Benarlah kata pepatah, meluntur buluh biarlah daripada rebungnya.

Nilai-nilai yang diajarkan arwah bapanya itulah yang dijadikan pedoman untuk menjalani kehidupan hingga ke hari ini. Sangat menginspirasikan!