ae63436b7b5eb4eaba19ae266bd8c59b.jpgs900
ae63436b7b5eb4eaba19ae266bd8c59b.jpgs900

“Melayu Malas? Sangat Tidak Tepat!” – Uncle Kentang

Simple Work Blog Banner

INDIVIDU ini sering ke depan apabila masyarakat di sekelilingnya memerlukan bantuan. Siapa lagi kalau bukan Kuan Chee Heng atau lebih mesra dengan panggilan Uncle Kentang.

Namanya dikenali ramai semenjak dia membelikan juadah berbuka puasa untuk lapan beranak di Taman Lestari Putra, Seri Kembangan beberapa tahun lalu.

“Saya tiru cara Islam. Islam minta kita permudahkan orang, jadi saya buat. Saya agak gelojoh nak mudahkan urusan orang sebab saya cuma nak Allah mudahkan jalan saya.”

Itulah salah satu sebab mengapa beliau berkhidmat untuk masyarakat. Antara lainnya adalah beliau telah melalui pelbagai perjalanan perit sewaktu usia muda yang mungkin kita sendiri tak sangka begitu sukar kehidupan yang dilalui.

 

Uncle Kentang
Bagi Uncle Kentang, kesusahan juga satu kurniaan, supaya kita dapat membantu orang lain kemudian hari (Sumber foto: The Star)

Makan Sisa Sayur Demi Kelangsungan Hidup

Mengimbau kembali kisahnya sewaktu kecil, beliau dan adik-beradik pernah makan sisa sayur dikutip ibu dan bapanya yang dibuang di tepi gerai kerana kekurangan duit.

“Kalau sayur pun susah nak beli, apatah lagi lauk. Jarang sekali ayah beli ikan timbang, hanya beli ikan longgok. Makanan nasi bersama kicap atau garam tu adalah perkara biasa sebab memang kami hari-hari makan macam tu.”

“Kalau dekat sekolah pula kami tak ada duit belanja. Jadi, waktu rehat, orang pergi kantin beli makanan sedap-sedap, tapi saya pergi tandas hirup air paip tandas sebab tak nak rasa lapar dekat sekolah,” ceritanya sambil mengalirkan air mata.

Pernah Ditertawakan Orang Sekeliling

Tambahnya lagi, dia masih ingat bagaimana dirinya terpaksa memakai seluar sekolah bersaiz besar dan ditertawakan rakan. 

“Seluar saya besar gajah diikat dengan tali rafia, kasut sekolah pula koyak rabak, stoking berlubang dan beg pasar menjadi kelengkapan ketika pergi ke sekolah. Orang ramai ketawa dan sindir saya,” kongsinya.

Lihatlah gambar Chee Heng (kiri) bersama kawan karibnya, Yeo Thian Huat ketika mendapatkan pendidikan di Sekolah Menengah Kolam Air, Batu Pahat, Johor.

Uncle Kentang
Uncle Kentang juga pernah dipanggil gila dan goblok oleh sesetengah orang (Sumber foto: The Star)

Titik Permulaan Van Jenazah

Menerusi temu bual bersama bapa kepada anak tiga ini, apa yang mencetuskan dirinya ingin memberikan perkhidmatan van jenazah dengan bayaran sebanyak 10 sen saja adalah disebabkan mayat ayahnya yang pernah lambat dikebumikan kerana kekangan duit untuk menguruskannya.

“Saya ingat lagi, pukul 3 pagi mayat ayah saya masih terbiar lama atas kerusi panjang sebab kami sekeluarga tak ada duit nak beli keranda atau sewa ambulans. Sekarang saya buat perkhidmatan van jenazah sampai orang kata saya gila. Saya cuma tak nak orang lain hadapi benda yang sama macam saya lalui,” jelasnya.

Namun, pengalam ‘berharga’ ini tidak pula membuatkan dirinya berdendam kepada orang tua kerana tidak mampu memberi kehidupan yang mewah.

Malah, bagi Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, beliau terhutang budi dengan pengorbanan ibu dan bapanya yang berkorban segala-galanya bagi membesarkan beliau 10 beradik.

49533994 2400900999921655 4081182545767563264 o
Beliau juga menyediakan khidmat van jenazah bagi mereka yang tidak berkemampuan (Sumber foto: Malaysia Gazette)

Dalam pada masa sama juga, dia mengulas yang dia tidak bersetuju dengan stigma segelintir orang kita yang mengatakan orang Melayu malas kerana bagi dirinya tidak tepat.

“Saya ada 90  peratus kawan Melayu. Apa saya nampak adalah mereka hanya kuat cemburu dengan kelebihan orang lain, tapi saya selalu minta mereka untuk husnuzon kerana rezeki kita belum sampai.”

“Dari sini saya jumpa ramai jenis orang dan belajar untuk selalu ingatkan pada orang ramai, jangan kerana kamu susah jadi kamu give up. Susah itu juga kurniaan Tuhan supaya suatu hari nanti kamu boleh tolong orang lain,” pesannya.

Kalau kita rasa diri kita malang dan susah, ingatlah sebenarnya ada orang lagi susah daripada kita. Cuma, berusaha dan doa kepada Allah.

Percayalah, apa yang dimohon oleh Hamba-Nya, tangan yang ditadah tidak akan dipulangkan bersama tangan kosong, pasti ada isi.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita untuk berjuang!

 

Sumber: Sinar Harian