WhatsApp Image 2020 07 24 at 10.28.54 e1595561989915
WhatsApp Image 2020 07 24 at 10.28.54 e1595561989915

Normala Samsudin: Daripada Anak Penoreh Getah Kini Legenda Pengacaraan Negara

SEBUT sahaja nama Puan Sri Normala Samsudin, semua pengamal media sangat memandang tinggi kepada ikon industri penyiaran negara ini. Aura dan personalitinya setiap kali muncul di kaca televisyen sememangnya luar biasa.

Namun, untuk sampai ke tahap itu, ada banyak perkara yang telah dilalui Normala.

Capture
Normala juga pernah menerima jolokan Wanita Melayu Tercantik. (Sumber foto: Soyalemon)

 

Makan sehari sekali

Normala merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik dan dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Sudah pasti Normala mempunyai keazaman untuk menjaga adik-beradiknya.

Ibunya hanya bekerja sebagai penoreh getah dan berniaga kuih. Mereka sekeluarga hidup sekadar apa yang mampu. Makan cuma sehari sekali itupun berlaukkan sardin, ikan masin atau ayam yang dibela sendiri.

Normala pernah dipinang oleh orang berpangkat besar ketika berumur 17 tahun. Namun beliau menolak pinangan yang diterimanya kerana mahu fokus mencari kerja bagi membantu keluarga. Mujurlah ibunya menyokong cita-citanya.

 

Kerja kilang

Normala pernah bekerja kilang selepas sekolah. Manakala sebelah malam pula beliau akan menghadiri kelas Bahasa Inggeris dan kelas menaip. Semuanya dilakukan agar mudah beliau mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Rezeki tak pernah salah alamat, daripada banyak kerja yang dimohon. Normala berjaya dan layak menjadi pramugari di Malaysia Airlines. Beliau juga agak menonjol dan sering menjadi wajah MAS di papan iklan dan cenderahati syarikat penerbangan itu.

9795a9f3e8908d79c497afea86d7b1f0
Selalu menjadi wajah MAS pada suatu ketika dahulu. (Sumber foto: Berita Steady)

 

Terjun ke industri penyiaran

Kehidupan Normala di pentas pengacaraan bermula apabila beliau memenangi  pertandingan pengacara jemputan. Pada awalnya beliau hanyalah seorang wartawan sambilan. Kemudian beliau diterima sebagai wartawan tetap, pengacara dan pembaca berita.

Normala mencapai puncak kegemilangannya ketika mengendalikan rancangan Nona di TV3 pada suatu ketika dahulu. Beliau mengacarakan rancangan majalah wanita tersebut pada tahun 2001 hingga 2004. Beliau juga pernah berlakon dalam beberapa buah filem termasuk Gerak Khas The Movie (2001), Idola (2002), Gerak Khas The Movie II (2002) dan telefilem Neon (2003).

Menurut Normala, untuk berjaya, kita mestilah selalu merendah diri untuk belajar daripada senior dan jujur dengan segala apa yang kita lakukan.

Kini, Normala banyak menghabiskan masa dengan aktiviti mendaki yang dekat dengan alam. Bukan itu sahaja, beliau juga aktif menanam ulam dan pokok-pokok.