BB17TTz8
BB17TTz8

Pernah Tidur Atas Guni, Ini Kisah Ebit Lew Sebelum Terkenal

SEBUT sahaja nama, Ustaz Ebit Lew, semua dah kenal. Mana tidaknya, beliau pantas menghulurkan sumbangan lebih laju daripada para menteri. Daripada pusat tahfiz, anak yatim, keluarga miskin, mahasiswa sampailah kepada lori air semua beliau pernah bantu.

Kekayaan jiwa dan harta yang dimiliki ustaz tersebut hari ini bukanlah datang bergolek. Sikapnya yang prihatin dan suka membantu itu lahir daripada pengalaman beliau yang pernah hidup susah kais pagi makan pagi. Beliau bukanlah lahir daripada keluarga yang kaya-raya.

Tidur di guni

Berketurunan Cina, Ebit Lewsudah memeluk Islam ketika berusia 13 tahun. Sejak kecil lagi, beliau sangat komited untuk menyebarkan kebaikan dan kasih sayang kepada semua orang.

Beliau begitu menyayangi ibunya. Semua duit yang diperolehinya daripada bekerja kira-kira RM800 diserahkan semua kepada ibunya.

Pernah dulu Ebit hanya tidur di atas guni atau di masjid. Nak cari kerja pula punyalah susah. Maklum sahajalah, siapa yang ingin mengambil kerja orang yang tidak kemas. Ebit pula pada waktu itu tidak mampu untuk membeli barang mahal.

Beliau hanya mempunyai kasut yang buruk. Stoking pun tak ada. Janggut pula tak kemas mana. Soal makan pula, bila duit tak cukup. Beliau akan makan nasi sepinggan dan kongsi nasi tersebut dengan kawan-kawan.

Screenshot 2020 04 30 at 10.59.54 PM
Ebit Lew rajin membantu tanpa mengira agama dan bangsa. (Sumber foto: dedah.com)

 

Rezeki mula melimpah ruah

Rezeki tak pernah salah alamat. Beliau mendapat pekerjaan di bawah Dato Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah sebagai jurulatih selama empat tahun. Banyak pengalaman dan ilmu yang dikumpulkannya sepanjang tempoh itu.

Ebit kemudian mengorak langkah dengan membina jenamanya sendiri. Alhamdulillah, semakin banyak syarikat minyak dan kapal yang melakukan program bersama-samanya. Bukan itu sahaja, beliau dilamar oleh kementerian untuk mengadakan program Keluarga Sunnah yang banyak memberi kesedaran betapa pentingnya hidup dalam keluarga yang harmoni.

Semangat untuk memajukan hidup semakin hebat dalam diri beliau. Dari seorang pakar motivasi, Ebit kemudian membuka kedai makan dan juga butik pakaian sendiri. Semuanya laku keras.

Program televisyen ustaz tersebut juga tidak kurang hebatnya. Semuanya mendapat tontonan tinggi. Buku tulisannya juga masih lagi laku sehingga hari ini. Di situlah datangnya punya pendapatan Ebit. Baru-baru ini juga beliau ada membuka kedai serbaneka sendiri dengan niat dapat membantu lebih ramai manusia di luar sana.

Ebit Lew
Kalau dengar sahaja ada orang yang kurang berkemampuan, beliaulah orang pertama yang sampai

 

Kunci rezeki melimpah

Ketika ditanya apakah yang menjadi kunci rezekinya melimpah ruah. Ebit Lew ada memberikan beberapa tip. Pertama, jangan sesekali meninggalkan solat. Kedua, berikan wang kita kepada orang tua dan jangan sesekali melupakan mereka. Ketiga, rajinkanlah bersedekah kerana harta kita akan digandakan sekiranya kita banyak memberi.

Sehingga hari ini, Ebit Lew menjadi inspirasi ramai orang. Beliau disayangi setiap lapisan masyarakat tidak mengira umur, bangsa dan juga agama. Tahniah ustaz!