ziana zain
ziana zain

“Saya Ada Nama, Famous Tapi Tak Ada Duit,” – Kisah Ziana Zain Seawal Bergelar Artis

“BILA Ziana cakap dia nak serius dalam bidang nyanyian, ketika itu saya memang rasa susah hati. Saya tidak mahu anak-anak saya menjadi artis kerana saya sudah berpuluh tahun menyanyi. Walaupun tidak terkenal tapi asam garam dalam dunia artis ni memang saya tahu. Kalau iman tak betul, iman tak kuat, kita boleh terbabas,” begitu kata ayah kepada Ziana Zain, yang dikenali Pak Zain.

Itulah luahan hati seorang ayah sebenar, namun, diizinkan juga atas pujukan ibu Ziana Zain, Robiah Abdul.

Tambanya lagi, sebagai seorang bapa dia perlu memikirkan impian anaknya dan dia sedar, dia tidak boleh terlalu menentang kehendak anaknya.

“Bila saya akur, saya bagi dia syarat! Setiap pergerakan dia saya akan pantau. Dengan siapa dia berkawan dan saya akan ikut ke mana dia pergi. Saya juga terang pada dia bagaimana tingkah dan jenis manusia yang boleh merosakkan diri dia serta karier dia,” ceritanya panjang ketika ditemubual.

Tidak mengenal erti jemu, seorang ayah setia di sisi demi menjaga maruah dan tingkah puteri sulungnya dalam dunia industri sehinggalah nama Ziana dikenali ramai.

Setelah namanya sudah dikenali sekitar tahun 1990 kerana berjaya mengeluarkan lagu daripada album pertama, Madah Berhelah, ramai mula mengkritik dirinya yang sebenarnya tidak menyanyi tapi menjerit.

Malah, ada juga yang mengatakan Ziana tidak mempunyai identiti sendiri apabila cuba meniru suara Juliza Adlizan dan kulit albumnya turut dikatakan seperti kulit album penyanyi, Sheila Majid.

Ziana Zain Madah Berhelah
Album pertama berjaya dijual sebanyak 40,000 walaupun kulit album ini dikecam teruk. (Sumber foto: Wikipedia)

“Paling ingat bila waktu awal menjadi penyanyi saya memang kena kutuk sebab imej saya tak tentu arah. Ingat lagi, waktu tu saya tak ada duit nak beli baju.

Jadi saya beli baju labuci warna kuning harga RM280 dan saya rotate pakai selama setahun. Pakai bila nak menyanyi saja tapi dah ada duit sikit, barulah saya beli baju baru,” kongsinya sambil tergelak mengenangkan kembali pada awal menjadi seorang artis.

Beliau turut kongsi kenangan sedih ketika dengan ayahnya. Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia selesai membuat persembahan dan sedang menunggu teksi untuk pulang.

Ziana Zain - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas
Ziana Zain menyanyikan lagunya, “Dingin” di persembahan akhir Anugerah Juara Lagu ke-23. (Sumber Foto: Wikipedia)

“Tengah tunggu teksi, ramai peminat saya yang datang ke persembahan saya tadi melihat kami dua beranak sedang menunggu teksi. Ayah saya pun ajak tunggu teksi dekat tempat lain sebab katanya malu penyanyi tak ada apa-apa.”

“Waktu tu saya sedih sangat sebab saya ada nama, ada peminat, popular tapi tak ada duit nak beli kenderaan. Ayah saya masa tu cakap tak apalah, kita susah dahulu nanti lama-lama kita senang. Bila saya nampak air mata ayah jatuh sambil tahan teksi saya terus tekad akan beli kereta dan tolong bapa saya,” kongsi Ziana sambil mengelap air mata.

Katanya lagi, dia sedar dirinya bukan dilahirkan dari keluarga jutawan jadi dia harus lakukan sesuatu untuk mengubah kehidupan keluarganya dan masa depannya.

“Alhamdulillah selepas itu rezeki saya melimpah ruah. Saya mampu beli kereta, siap dapat hantar mak ayah saya pergi haji dan keluarga saya lain pun saya dapat tolong,” ujarnya.

Ziana Zain berjaya mencipta nama sehingga seluruh Asia sekali gus mengukir nama beliau dalam The Malaysia Book of Records sebagai artis wanita pertama memenangi pertandingan antarabangsa. Malah, beliau bukan sahaja bakat dalam bidang nyanyian tapi juga bidang lakonan.

Semoga liku kehidupan Ziana Zai ini menjadi contoh untuk kita terus langkah kehadapan!

 

Sumber: YouTube